Pasukan Imam Mahdi
Pasukan Imam Mahdi ini ada beberapa golongan. Secara ringkasnya pasukan Imam Mahdi ini dibahagikan menurut kategori-kategori yang telah Allah SWT sendiri tentukan. Mereka adalah:
- Para Asoib. Mereka ini adalah golongan dari Timur yang berjumlah 16 ribu orang. Mereka ini adalah golongan yang menyamai para sahabat dari segi amalan agamanya yang zahir, tetapi tidak dari segi taraf dan kedudukan pada sisi Allah. Mereka ini adalah dari kalangan orang-orang yang telah mencapai taraf saleh dan merupakan generasi contoh untuk manusia akhir zaman, khasnya yang hidup pada zaman Imam Mahdi memerintah. Mereka ini insya-Allah dimudahkan jalan untuk masuk ke dalam syurga seperti yang dijanjikan. Dalam peperangan menentang musuh Islam, mereka ini adalah orang-orang yang sentiasa taat dan berperang dengan bersungguh-sungguh. Mereka sangat menjaga dosa-dosa mereka dan masyarakat seluruhnya.
- Para Ikhwan. Ikhwan ini berjumlah 314 orang dan di antaranya ada kaum wanita. Mereka inilah orang-orang kanan Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim, sentiasa membantu Imam Mahdi dalam setiap urusan pentadbirannya di seluruh dunia. Mereka inilah yang akan memenuhkan dunia ini, seolah-olah mereka itu memenuhkan setiap ruang dunia ini sehingga dirasakan tiada lagi ruang yang kosong di atas dunia ini melainkan semuanya telah dipenuhi oleh mereka. Para Ikhwan ini sendiri ada beberapa tingkatan lagi, bermula dari yang paling umum sehinggalah kepada yang paling tinggi tarafnya pada sisi Allah.
- Rasul-rasul dahulu. Antara rasul berkenaan adalah Nabi Isa AS yang akan turun dari langit lalu membantu Imam Mahdi membunuh Dajjal dan memerangi bangsa Yahudi. Juga Nabi Ilyas AS yang masih hidup di atas dunia ini. Khidir AS yang masih hidup itu juga akan turut keluar dan membantu Imam Mahdi.
- Ashabul Kahfi. Mereka adalah sekumpulan pemuda beriman yang berusaha menyelamatkan iman mereka lalu tertidur di dalam sebuah gua. Mereka akan keluar dari dalam gua mereka lalu membantu Imam Mahdi memerintah dunia ini dan turut sama memerangi musuh-musuh Islam.
- Para Wali Allah. Maksudnya adalah para wali Allah yang umum. Ada di antara wali Allah itu yang masih hidup dan ada pula di kalangan mereka ini yang telah meninggal dunia. Namun semuanya akan turut membantu Imam Mahdi dalam setiap urusan yang beliau memerlukan pertolongan mereka. Hal ini sebenarnya tidak susah dipercayai dan diketahui kerana orang yang memahami hakikat kejadian insan pasti tidak akan menolak adanya para wali yang telah meninggal dunia bangkit membantu orang yang masih hidup. Hal yang demikian tidaklah sukar bagi Allah untuk menjadikannya. Selain itu, ada juga wali ghaib yang pada masa pemerintahan Imam Mahdi semuanya menzahirkan diri ke tengah-tengah masyarakat dan membantu masyarakat Islam untuk mendekati Allah.
- Wali-wali Abdal. Mereka sudah disebutkan oleh beberapa buah hadis dan asar bahawa mereka akan membantu Imam Mahdi, berbaiat kepada Imam Mahdi di Masjidil Haram dan berperang bersama-sama dengan Imam Mahdi. Jumlah mereka ini berbeza-beza menurut keperluan dan masa. Ada kalanya ramai dan ada kalanya sedikit pula. Namun, setiap kali salah seorang daripada mereka mati, maka Allah akan melantik seorang wali lain untuk menggantikan tempatnya sebagai Wali Abdal. Ada juga disebutkan bahawa jumlah Wali Abdal lelaki adalah sama banyak dengan bilangan Wali Abdal yang perempuan. Dan tempat mereka adalah di Syam.
- Wali Nujabak. Mereka adalah golongan yang berada di Mesir dan akan segera mendatangi Imam Mahdi sebaik-baik sahaja Imam Mahdi muncul di Makkah. Mereka ini akan turut membantu Imam Mahdi dalam setiap urusan yang beliau memerlukan pertolongan mereka. Keberadaan mereka dalam masyarakat sangatlah didambakan oleh seluruh umat Islam, terutamanya yang tinggal di merata-rata benua Afrika.
Bersambung: Peperangan yang disertai oleh Imam Mahdi
This entry was posted
on Friday, June 11, 2010
at Friday, June 11, 2010
and is filed under
Knowledge
. You can follow any responses to this entry through the
comments feed
.