Imam Mahdi: Pemimpin Akhir Zaman 5  

Posted by Budak Milo in

Keadaan Sebelum Imam Mahdi Zahir

Sebelum Imam Mahdi zahir, beberapa perkara besar akan berlaku. Hal-hal besar ini sudah disebutkan oleh terlalu banyak hadis dan sebahagian besarnya sudah sedia diketahui oleh kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia dan di Asia Tenggara. Dan di sini hanyalah ringkasannya sahaja yang akan diberikan, untuk memudahkan kita mengingat semula apa yang telah sedia diketahui itu.

Sebelum Imam Mahdi zahir, muncul Pemuda Bani Tamim yang mendapat kuasa di sebelah Timur. Kemunculan Pemuda Bani Tamim ini akan menggemparkan seluruh dunia, baik yang Islamnya apatah lagilah yang bukan Islamnya. Kemunculan beliau sebagai pemerintah di Timur akan menyebabkan seluruh dunia menjadi lumpuh dan huru hara. Sistem ekonomi Barat yang didasarkan kepada kapitalis terus lumpuh dan akhirnya mati, menyebabkan seluruh perdagangan yang sebelumnya amat sibuk dan maju, jadi terhenti terus. Namun, suatu keajaiban yang amt besar berlaku di situ. Pada ketika sistem ekonomi kapitalis itu terhenti dan seterusnya mati, sistem ekonomi Islam pula merecup naik dan menggantikan terus sistem kapitalis yang telah rapuh dan runtuh itu. Akhirnya sistem Islam itulah yang menguasai seluruh perdagangan di Timur, kerana seluruh sistem kapitalis tadi sudah tidak dapat dipakai lagi untuk sebarang urusan dan urus niaga.

Sistem politik demokrasi Barat yang juga sedang digunakan sebelum itu akan turut mengalami nasib yang serupa. Akhirnya sistem demokrasi Barat itu terus dibatunisankan dan di celah-celah runtuhan sistem Barat itu, cara politik Islam yang tidak zalim dan sangat adil itu akan naik dan menggantikan terus seluruh sendi-sendi sistem politik Barat yang digunakan. Dengan naiknya beliau, tamatlah kedua-dua sistem warisan daripada penjajah Barat itu dari dunia sebelah Timur ini. Naiklah semula sistem Islam yang sangat adil itu, secara yang benar-benar realiti, menggantikan sistem lama itu, tanpa perlu kepada sebarang teori dan perbincangan di mana-mana forum atau seminar pun.

Penentang-Penentang Imam Mahdi

Sejurus sebelum Imam Mahdi muncul, akan muncul terlebih dahulu as-Sufyani, yang dikatakan muncul di tengah-tengah Damsyik. Dia akan menjadi pemerintah di sana dan membina angkatan tentera yang kuat, ramai dan lengkap. Dia seorang yang pintar bercakap dan mendapat sokongan daripada rakyatnya dalam setiap apa yang dilakukan termasuk memerangi Imam Mahdi. As-Sufyani yang dimaksudkan di sini adalah puak Syiah, yang mendapat kuasa pemerintahan di negara Iran pada tahun 1979, setelah mereka berjaya menjatuhkan Shah Iran, raja terakhir dari Dinasti Pahlavi. Pemimpinnya pada masa itu adalah Imam Ayatollah Ruhollah Khomeini Seyyed Mosavi.

As-Sufyani akan dibantu oleh bapa saudaranya iaitu Kalb. Dia akan memerangi sesiapa sahaja yang berani menentangnya. Penindasan akan berleluasa di setiap pelosok dunia akibat pemerintahan as-Sufyani itu, dia membunuh sesuka hati, sehingga perempuan mengandung dan kanak-kanak kecil pun turut dibunuh tanpa belas kasihan. Puak Qais bangun cuba menentang as-Sufyani tetapi akhirnya tewas dan dibunuh beramai-ramai oleh Kalb. Puak Qais yang dimaksudkan adalah pasukan Iraq yang pada hari ini dipimpin oleh Saddam Hussein, dari Parti Sosialis Baath.

Satu pasukan tentera as-Sufyani yang besar jumlahnya dihantar ke Kufah dan mereka memerangi penduduk Khurasan, melakukan kerosakan yang amat besar dan membunuh penduduknya dalam jumlah yang amat ramai. Pada ketika itulah munculnya Panji-panji Hitam yang pasukan tenteranya amat kecil tetapi amat kuat dan gagah, dipimpin oleh Syuaib bin Saleh, Bani Tamim, yang bersatu dengan pasukan pimpinan al-Hasyimi.

Pasukan Syuaib ini berjaya menghalang pasukan tentera as-Sufyani daripada terus melakukan kerosakan. Satu pertempuran yang asangat dahsyat berlaku yang mengakibatkan ramai tentera dari kedua-dua pasukan terkorban. Namun, nyata yang ramai terkorban itu adalah dari pasukan as-Sufyani, menyebabkan mereka kalah dengan seteruk-teruknya. Berbetulan dengan masa itulah, seruan-seruan dari langit berulang kali menyebut-nyebutkan nama Imam Mahdi, menyebabkan beliau sudah menjadi sebutan ramai.

As-Sufyani dengan segera menghantar satu lagi pasukan tenteranya dalam jumlah yang besar dari arah Iraq untuk menghapuskan Imam Mahdi. Mereka sampai ke Madinah lalu menghancurkannya, membunuh seramai-ramai penduduknya termasuk perempuan mengandung, orang-orang tua dan kanak-kanak kecil. Akhirnya Madinah hampir-hampir menjadi kota sepi, dengan yang tinggal hanyalah binatang-binatang liar dan runtuhan-runtuhan bangunan.

Seterusnya pasukan as-Sufyani ini meneruskan perjalanannya ke Makkah tetapi dalam perjalanan, di kawasan berhampiran Zul Hulaifah, keseluruhan pasukan ini ditelan bumi. Tiada yang selamat melainkan dua orang yang segera menyampaikan berita kemalangan itu kepada as-Sufyani. Bagaimanapun, berita buruk itu tidak menakutkan as-Sufyani walau sedikit pun.

Akhirnya dalam satu peperangan, Imam Mahdi berjaya menangkap As-Sufyani lalu menyembelihnya di tepi laut. Kemudian Imam Mahdi memerangi Kalb pula, lalu dibunuh, sama seperti yang diperbuat kepada As-Sufyani sebelumnya. Seluruh harta benda mereka berdua ini akan dirampas dan dimasukkan ke dalam Baitulmal. Dengan matinya kedua-dua musuh utama Imam Mahdi ini, seluruh dunia akan menjadi sangat aman, tidak ada lagi peperangan yang melibatkan mana-mana pihak (Islam dan Kristian) melainkan dengan India dan China sahaja lagi. Pada ketika itu, seluruh dunia sudah berjaya ditawan oleh Imam Mahdi dan diperintah secara langsung oleh beliau.

Imam Mahdi juga akan memerangi India sehingga berjaya menawannya dengan mudah sahaja. Selepas itu, seluruh India dan kawasan-kawasan sekitarnya berjaya ditakluk oleh Imam Mahdi. Kemudian Imam Mahdi akan pergi memerangi China dan negara-negara di sekitarnya termasuk Jepun. Seluruh kawasan di rantau berkenaan turut berjaya beliau tawan dan memeluk Islam.

Beliau juga akan menghadapi tentangan daripada Dajjal yang akan muncul semasa Imam Mahdi sedang memerintah dunia. Kemunculan Dajjal itu memang amat menyusahkan, dan tidak ada kesusahan yang lebih berat dari itu sepanjang sejarah peradaban manusia yang lebih berat daripada fitnah Dajjal. Dajjal seterusnya menguasai seluruh dunia dengan dibantu oleh hampir seluruh bangsa Yahudi. Dan sepanjang empat puluh hari itulah mereka benar-benar dapat merasa memerintah seluruh dunia ini, seperti yang sekian lama mereka idam-idamkan.

Bersambung: Pasukan Imam Mahdi

This entry was posted on Thursday, June 10, 2010 at Thursday, June 10, 2010 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment