Imam Mahdi: Pemimpin Akhir Zaman: Episode Finale  

Posted by Budak Milo in

Penutup

Sebagai seorang yang mengaku beragama Islam, sepatutnya kita menyedari dan mengakui sungguh-sungguh bahawa kemunculan Imam Mahdi tetap akan berlaku apabila masanya tiba. Bagaimanapun, berita mengenai kedatangan Imam Mahdi ini tidak sepatutnya menghalang kita sebagai seorang Islam daripada menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT, yang lazim kita sebut sebagai Hablum minallah. Amal ibadat kita hendaklah terus-menerus diperkemas dan diperindahkan zahir dan batinnya, termasuk seni-seninya yang halus-halus itu.

Juga tidak patut menjadi penghalang kepada kita daripada menegakkan keadilan, menentang kezaliman dan mendidik umat tentang Islam. Juga tidak boleh menjadi penyebab yang menghalang kita daripada terus mencari kehidupan yang lebih baik. Mustahil semasa menanti Imam Mahdi, semua kegiatan kita diberhentikan begitu sahaja. Kita hendaklah terus-menerus berusaha memperbaiki hubungan kita sesama manusia, menurut apa yang dituntut dalam Hablum minannas.

Hanya golongan yang sesat sahaja yang bersikap pasif, mundur dan tidak berbuat apa-apa semasa mereka menanti kedatangan Imam Mahdi mereka. Golongan yang benar dan dibantu oleh Allah, tidak akan duduk diam sepanjang penantian mereka. Merekalah orang yang paling maju pada zamannya, orang yang paling cerdik pada zamannya dan orang yang paling bertakwa pada zamannya. Ini dikeranakan, menanti Imam Mahdi muncul bererti mereka terpaksa bekerja lebih masa untuk membangunkan tapak daulah untuk Imam Mahdi mereka, paling cerdik dalam menyusun strategi perjuangan kerana Imam Mahdi akan zahir dan berjuang menentang kuasa Barat dan paling bertakwa kerana Imam Mahdi mereka adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah, di samping merupakan syarat utama untuk mendapat bantuan terus dari Allah.

Merekalah orang yang paling maju dunianya, paling maju akhiratnya, paling maju agamanya, paling maju fikiran dan akalnya, paling maju rohaniahnya dan paling berjaya hidupnya. Roh Islam itu ada pada mereka, dan merekalah penghidup sebenar bagi roh Islam pada zaman itu. Merekalah golongan yang paling kenal Tuhannya dan paling sensitif hatinya terhadap Tuhan. Roh merekalah yang paling akrab, cinta dan takut dengan Tuhan. Tidak akan berlaku pada satu-satu kurun itu dua kumpulan kerohanian yang boleh menghidupkan roh Islam secara serentak. Hanya salah satu sahaja daripadanya yang akan benar-benar mampu dan diberi keupayaan untuk menghidupkan roh Islam. Yang satu lagi hanyalah bersifat pengekor, atau menumpang rahmat roh Islam pihak yang satu lagi itu.

Abad demi abad terus berlalu, sejak dari Zaman Kenabian hinggalah ke hari ini. Banyak peristiwa yang disebutkan telah pun berlaku dan terjadi, satu demi satu. Dan adalah berkemungkinan bahawa banyak lagi peristiwa lain yang akan terus berlaku sebelum Imam Mahdi itu muncul. Ada yang berbentuk baru dan ada yang merupakan ulangan peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini. Kemunculan tiga orang tokoh pemimpin Islam secara berturut-turut yang didahului oleh Pemuda Bani Tamim, diikuti tidak lama kemudiannya oleh Imam Mahdi dan seterusnya diikuti pula oleh Nabi Isa AS adalah sebagai pelengkap kepada kecemerlangan umat Islam seperti yang pernah dihayati oleh umat Islam pada peringkat awalnya dahulu. Ketiga-tiganya saling kait-mengait dan saling perlu-memerlukan. Nabi Isa AS misalnya tidak akan muncul melainkan setelah munculnya Dajjal. Dajjal pula tidak akan muncul melainkan setelah munculnya Imam Mahdi dan Imam Mahdi pula memerlukan Pemuda Bani Tamim sebelum beliau boleh muncul.

Mana-mana orang Islam yang sampai tergendala tugasan hariannya hanya semata-mata kerana menantikan ketibaan sang penyelamat, sebenarnya telah melakukan satu kesilapan yang amat besar. Yang demikian adalah suatu salah faham yang sangat besar terhadap konsep Imam Mahdi itu sendiri. Mereka telah meninggalkan kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh al-Quran dan hadis. Semata-mata mengharapkan kedatangan Imam Mahdi ke hadapan kita dan seterusnya beliaulah pula berseorangan mahu membetulkan seluruh keadaan dunia hari ini adalah silap besar, melainkan jika Imam Mahdi sudah benar-benar wujud di depan mata kita dan sedang memerintah dunia. Apa peranan kita sebagai pembantu atau pengikut Imam Mahdi? Sayang seribu kali sayang, itulah fenomena yang berlaku kepada kita pada hari ini.

Selagi peribadi unggul yang bergelar Imam Mahdi itu belum benar-benar muncul, kitalah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap keadaan hidup kita pada hari ini. Baik atau buruknya, kitalah yang menanggungnya. Tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada mana-mana individu. Oleh itu, kenalah kita yang berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri, mengamalkan ajaran Islam dalam diri sendiri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara. Itulah sebenarnya sumbangan kita kepada Islam dan sumbangan itu, walaupun kecil pada pandangan kita, amat besar nilainya pada sisi Allah SWT.

Namun, menafikan terus kedatangan Imam Mahdi juga adalah pandangan yang menampakkan keegoan kita dan cuba menutup kelemahan dan kekurangan diri sendiri. Langsung tidak percaya kedatangan Imam Mahdi adalah sifat orang yang ego dan tidak berilmu yang mendalam. Menyuruh umat Islam bekerja sendirian tanpa perlu mengharapkan ketibaan sang penyelamat adalah pendapat palsu. Pendapat ini adalah ‘diimport masuk’ dari pendapat Zionis terhadap orang-orang Yahudi. Sekuat mana pun kita berusaha dan bertawakal, tidak akan berjaya juga. Hanya orang pilihan Allah sahaja yang mampu membawa seluruh umat Islam ini ke mercu kejayaan, sebab dia dibantu secara langsung oleh Allah.

Menuduh konsep Imam Mahdi berasal daripada Syiah adalah menampakkan kedangkalan ilmu orang yang berkata demikian kerana yang sebenarnya Syiahlah yang meniru konsep Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan cara mereka-reka hadis palsu, membuat-buat cerita khayalan dan memasukkan juga unsur-unsur Majusi di dalamnya. Ini mungkin sahaja berlaku kerana mereka ingin mendapatkan pengaruh yang cepat daripada orang-orang Parsi yang baru dikalahkan oleh Islam itu, agar dendam mereka terhadap orang-orang Arab yang menjatuhkan kerajaan Majusi Sasanid Parsi itu dapat dikurangkan.

Orang yang menuduh ini juga adalah orang yang keliru antara konsep Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan konsep Imam Mahdi Syiah sehingga tidak dapat membezakan antara kedua-dua jenis Imam Mahdi itu. Orang yang sebegini sepatutnya memperdalamkan lagi ilmunya terhadap persoalan yang dihadapinya sebelum boleh mengeluarkan kata-kata, agar tidak digelakkan orang pada kemudian hari.

Berdasarkan huraian-huraian dan tafsiran yang telah diberikan secara ringkas, begitulah kisah betapa peri pentingnya kita, umat Islam pada akhir zaman ini, mencari dan mengikuti pemimpin yang sudah Allah tunjukkan kepada kita untuk diikuti dan ditaati. Sebagai rumusannya, ketiga-tiga pemimpin besar pada akhir zaman inilah yang akan diberikan kemampuan oleh Allah untuk membawa seluruh umat Islam ke mercu kejayaan seperti yang pernah berlaku pada zaman Nabi SAW dan Khulafa dahulu. Ketiga-tiga mereka itu iaitu Pemuda Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa AS adalah orang-orang yang sudah Allah SWT tunjukkan kepada kita untuk kita ikuti sebagai pemimpin kita. Maka beruntunglah orang-orang yang dengan segera dapat menangkap perintah-perintah tersirat ini.

Mereka bertiga inilah yang kelak akan membangunkan semula Islam sehingga seluruh umat Islam akan menjadi tuan kepada seluruh dunia, seperti yang pernah dikecapi oleh para Sahabat RA dan tabiin RH dahulu. Bukan sebarang orang dapat membawa Islam ke kemuncak kejayaan, rohani dan lahiriah, seperti yang benar-benar dituntut oleh agama kita ini. Orang-orang yang telah ditunjuk dan diturunkan oleh Allah untuk tugas itu sahaja yang akan Dia berikan kejayaan dalam tugas maha besar mereka itu.

Memang bukan mudah untuk mempersatukan hati-hati seluruh manusia. Alangkan untuk mempertautkan hati sesama ahli parti atau jemaah kita sendiri pun amatlah susahnya, inikan pula untuk mempertautkan hati sesama umat Islam di seluruh dunia, yang tidak pernah kenal dengan kita, dan tidak pernah diakui sebagai pemerintah mereka. Kita boleh bertanya kepada mana-mana pemimpin pun, baik yang besar mahupun yang kecil jemaahnya, bagaimana sukarnya untuk memperbaiki hati-hati mereka. Maka bayangkanlah betapa sukarnya pula untuk menjalankan tugas yang sama yang ternyata terlebih-lebih sukarnya lagi itu.

Oleh itu, akuilah bahawa sebenarnya tugas memimpin umat Islam ini bukanlah hak kita, dan kita pun tidak boleh cuba-cuba mendakwa bahawa kita akan cuba sedaya upaya untuk menjalankan tugas itu. Ingatlah, hati sendiri pun amat jauhnya daripada Tuhan, inikan pula hendak membawa hati orang lain untuk mendekati Tuhan mereka. Lebih baiklah kita memperbaiki diri dan hati kita daripada cuba-cuba memperbaiki dan mendekatkan hati manusia yang sedang lalai kepada Tuhan. Sesuatu yang amat mustahil untuk dilakukan.

Itulah beberapa perkara yang dapat disentuh di dalam buku ini. Tulisan yang seperti ini semestinya tidak dapat memuaskan hati banyak pihak kerana kekurangan-kekurangan yang nyata didapati di dalamnya.

Mungkin ada beberapa perkara lagi yang tidak disentuh oleh penulis walhal perkara itu mungkin amat penting dan perlu disentuh. Mungkin juga kerana kebanyakan hadis itu tidak dituliskan rawinya dan tidak juga disertakan sanadnya. Ini jelas melanggar etika ilmu mustalah hadis, terutama pada pandangan ulama hadis yang mahir-mahir dalam bidang ilmu mereka. Mungkin banyak hadis di dalamnya yang bernilai maudhuk pada pandangan sebahagian ulama hadis yang terkenal tegas dan ketat. Juga terdapat beberapa buah hadis lagi yang dengan sengaja tidak dimasukkan sama, walaupun sebenarnya agak perlu juga. Jika demikian, penulis meminta maaf sebanyak-banyaknya. Tetapi penulis tetap mempunyai pendirian sendiri dalam menanggapi dan memahaminya.

Mungkin juga ada beberapa huraian yang kurang jelas, atau bercanggah sama sekali dengan penerimaan umum, atau penulis dilihat terlalu memandai-mandai sendiri. Mungkin juga kerana huraian itu tidak lengkap, terlalu pendek dan memerlukan penerangan yang lebih lanjut. Beberapa pendapat lagi sengaja tidak dimasukkan kerana dirasakan tidak berapa perlu dimasukkan di sini. Penulis telah mencuba sedaya upaya memendekkan tulisan di dalam buku ini untuk mengurangkan ketebalannya. Tetapi setakat inilah yang dapat dikurangkan oleh penulis sebagai tatapan sekalian pembaca. Jika terlalu pendek, nanti sama pula dengan kandungan buku-buku lain yang telah sedia ada di tangan kita, dan jika terlalu panjang, cepat menjemukan sebelum sempat habis membacanya.

Walau apa pun pendapat, pandangan, kritikan dan hujah, amatlah diharapkan apa yang disajikan ini, mudah-mudahan merupakan suatu usaha awal dalam memberikan sebuah pandangan yang berlainan daripada yang telah sedia disajikan oleh pihak lain sebelum ini. Pandangan yang berlainan itu bukan bermaksud huraian ini merupakan suatu ilmu baru, tetapi sebenarnya adalah ilmu yang itu juga, ilmu yang diajarkan pada permulaan Islam, tetapi sudah lama terbiar dan tidak dikutip oleh sesiapa pun. Maka asinglah ilmu tersebut pada pandangan kita yang baru ini. Maka dikatakan ilmu lama ini sebagai ilmu baru, kerana baru dibongkar setelah sekian lama tertanam di dalam perut bumi atau setelah sebegitu lama ruang Arasy tidak terjangkau orang.

Sekurang-kurangnya pun, biarlah kandungan buku ini menjadi suatu pembuka minda, jika pun tidak mahu diterima sebagai suatu kebenaran dan kenyataan. Mungkin ramai yang akan mempertikaikan huraian yang diberikan, atau taraf hadis-hadis berkenaan, malah kandungan hadis-hadis itu sendiri. Mengenai hal ini, penulis telah merujuk kepada orang yang dirasakan sepatutnya kita merujuk, yang ilmunya bertepatan dengan kebenaran hakiki, yang bersesuaian pula erti dan huraiannya dengan keadaan semasa, sambil mencari jawapan hakiki daripada yang Maha Hak atas segala yang hak. Setelah yakin dengan apa yang diperoleh, barulah penulis masukkan ke dalam buku ini. Hal ini sebenarnya amatlah sukar didapati di kalangan ilmuan dan sarjana serta umat Islam amnya, apatah lagi pada zaman moden yang serba mencabar ini.

Sebabnya, ilmu-ilmu sebegini sudah terlalu asing bagi kebanyakan kita umat Islam. Bagi yang sudah sedia percaya pula, biarlah buku ini dapat membantu menambahkan lagi pengetahuan dan memperkukuhkan keyakinan terhadap persoalan ini. Semoga kita terus diberikan hidayah oleh-Nya. Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu menapak kukuh di dalam hati, lalu menyerap ke seluruh anggota untuk diamalkan dan menyinar ke puncak fikiran untuk dicernakan. Dengannya roh seseorang itu hidup dan memesra dengan iman. Imannya kian bertambah dan memantap di dalam kalbu dan akal. Ilmunya sentiasa hidup kerana diambil terus dari sisi Yang Maha Hidup, bukannya ilmu yang mati yang diambil dari benda yang mati. Ilmu yang celaka adalah ilmu yang mati, semata-mata tinggal di dalam kepala atau tersimpan kukuh di dalam halaman buku-buku. Lebih malang lagi, ilmunya hanya disebarkan melalui akhbar-akhbar yang tidak pernah dipusakakan oleh sesiapa pun. Setelah seminggu atau sebulan, segala yang kita tulis itu dilupakan orang, buat bungkus nasi lemak sahaja, bolehlah.

Segala yang diceritakan oleh penulis di dalam buku ini adalah suatu yang sememangnya benar, tetapi sudah ‘dikuburkan ceritanya’ oleh banyak pihak. Ilmu-ilmu begini sudah lama luput dari tangan kita, ilmu yang membawa umat Islam ke puncak kegemilangan dan ilmu yang menjadikan umat Islam tuan di dunia ini. Ilmu sebegini datangnya dari hati yang khusyuk dalam sembahyangnya kepada Allah. Ya, kita sekarang hidup pada suatu zaman yang ilmu-ilmu Islam sejati sudah lama dibatunisankan. Kita dikeronyok oleh musuh dari segenap penjuru, segenap arah, disibukkan lagi oleh dunia yang amat menipu daya, dan oleh pekerjaan yang sia-sia bagi akhirat.

Hanya orang yang rapat dengan Imam Mahdi sahaja yang akan lebih tahu tentang Imam Mahdi itu, termasuk segala hal yang sebelum ini begitu rahsia dan tidak pernah diketahui oleh orang lain atau rakaman yang sudah dilupakan oleh sejarah. Kerana itulah penulis menamakan buku ini dengan tajukrahsia-rahsia kegemilangan umat Islam pada zaman moden ini. Dan ketahuilah bahawa orang yang lebih mengetahui tentang Imam Mahdi sudah pastilah terdiri daripada orang-orang kanannya apabila Imam Mahdi itu muncul kelak. Hanya orang-orang kanan kepada seorang pemimpin besar sahaja yang lebih mengetahui jalan pemikiran pemimpin besar mereka itu, dan segala hal yang sulit yang tidak pernah diketahui dan difahami oleh orang lain.

Jadi, orang yang tidak berkaitan sebenarnya hanya mampu memperkatakan mengenai Imam Mahdi dari segi yang sudah sekian lama diperbincangkan sehingga menimbulkan perasaan jemu orang yang membacanya. Sebabnya, asyik-asyik perkara itu juga yang diulang-ulang sebut, langsung tiada perubahan dan langsung tidak membawa apa-apa manfaat yang besar, baik kepada penulis itu sendiri mahupun kepada khalayak pembaca yang disasarnya. Masing-masing hanya cuba mempertahankan pendapat yang telah sekian lama berlegar dengan cuba mencari dalil-dalil baru yang lebih saintifik agar dia dilihat lebih terkehadapan dalam soal ini. Itu sahaja dan tidak lebih. Noktah.

Sebenarnya, fikiran kita telah lama terjajah, akal kita sudah lama terbelenggu, pandangan kita sudah lama dibelokkan dan hati kita sudah lama ditutup. Oleh itu, setiap apa yang kita fikirkan, adalah terhad menurut apa yang ditetapkan oleh sukatan fikiran penjajah Barat. Kita tidak dapat dan tidak berani memikirkan sesuatu yang melampaui daripada apa yang telah ditetapkan oleh sukatan fikiran itu. Para ulamanya juga tidak mampu memikirkan sesuatu yang lebih jauh daripada ‘sempadan’ itu. Jika berani memikirkannya pun, tidak berani melaksanakannya dengan sebenar-benarnya kerana takut kepadasekatan-sekatan ghaib yang disogokkan secara halus oleh Barat. Jika ada pihak lain yang berani memperkatakan sesuatu yang lebih daripada itu ataulari daripada sukatan, maka orang itu akan lekas-lekas dituduh sebagai pembidaah, penyeleweng dan perosak agama atas nama agama. Dan mereka beramai-ramai akan menjadi tukang soraknya sehingga pihak yang berkata benar itu disesatkan, dibidaahkan, diselewengkan atau dihukum dengan sesuatu hukuman menurut undang-undang sivil di negara itu.

Akal kita sudah lama dibelenggu sehingga jadilah akal kita umpama katak di bawah tempurung, hanya sibuk memikirkan hal-hal yang di sekeliling pinggang kita, yang ternampak oleh kita dan yang tercapai oleh kita. Apa yang ada di luar tempurung kita, sudah tidak dapat difikirkan lagi. Jika dapat difikirkan pun, kita tidak dapat berbuat lebih daripada itu. Kegiatan, pemikiran dan pelaksanaan kita terhadap agama kita sendiri amatlah terbatas, dibataskan oleh penjajah yang pada hakikatnya masih lagi menjajah kita umat Islam. Kita mempelajari sejarah tetapi sebenarnya kita masih lagi buta hakikat sejarah. Akal besar kita sudah lama ditekan-tekan dan dikecilkan, sehingga menjadi benar-benar halus, sehalus yang dikehendaki oleh pihak penjajah sejak dahulu.

Pandangan kita juga sudah lama dibelokkan sehingga kita sudah tidak nampak lagi jalan Allah yang luas terbentang dan lurus, selamat untuk dilalui oleh sesiapa yang ingin mendapatkan hidayah-Nya. Kita jadi takut kepada agama sendiri. Sistem Barat dianggap sebagai salah satu sistem yang terbaik untuk menggantikan hukum Allah. Ramai yang beranggapan sistem demokrasi Barat yang sedang kita gunakan hari ini adalah ‘saudara kembar’ kepada perundangan Islam. Boleh ikut salah satunya atau lebih baik lagi jika diadukkan sekali, menjadi sistem rojak - Islam bukan, Barat pun tidak - setengah Islam setengah Barat. Jika ditanya, Baratkah itu atau Islamkah itu?, pastilah akan dijawabnya Barat yang sesuai dengan Islam, dan Islam yang sesuai dengan Barat. Akhirnya, orang Barat tidak akuinya dan Allah SWT pun sekali-kali tidak terima. Namun, itulah hakikat yang berlaku pada hari ini. Malang sungguh nasib umat Islam pada hari ini, baik dari segi zahir mahupun batinnya.

Para ulamanya ramai tetapi nasib umat Islam tidak ubah seperti buih di lautan, terlonta-lonta ke sana ke mari dilambung ombak. Ilmu mereka banyak tetapi tumpul setumpul-tumpulnya, tidak dapat digunakan untuk membela nasib umat Islam. Untuk melawan musuh, lagilah tidak dapat digunakan. Ilmu mereka ibarat bangkai, badannya cantik menawan dan penuh perhiasan, mempunyai otak yang penuh bercahaya, tetapi tidak mempunyai nyawa untuk menggerakkannya. Cantik tetapi tiada nilai atau cantik tetapi tidak boleh digerakkan. Memang benar, kita amat memerlukan seorang pemimpin yang benar-benar dapat memulihkan iman kita, menegakkan fikrah kita, mengembalikan fitrah kita, menguatkan agama kita, mengalahkan musuh kita, membesarkan roh Islam kita, meneguhkan pendirian kita, mempertajamkan jihad kita dan yang menegakkan kebenaran, yang berani mengatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah.

Segala yang sudah tertulis ini adalah berpandukan kepada sumber-sumber yang pada anggapan kita boleh diyakini dan berwibawa, walaupun mungkin satu atau beberapa fakta di dalamnya mungkin tersasar. Jika demikian, kepada Allah jua saya pohonkan keampunan. Memang sudah lumrahnya sifat manusia itu iaitu pelupa dan lalai dalam pelbagai segi. Namun, janganlah dikeranakan satu atau dua fakta yang mungkin didapati tidak tepat, maka seluruh isi buku ini, termasuk yang hal-hal benar turut sama dibuang dan ditolak. Sifat sebegitu bukanlah akhlak seorang mukmin sejati seperti yang dituntut oleh agama. Terimalah apa adanya menurut yang dibenarkan oleh syarak. Perbetulkan mana-mana kesilapan atau kesalahan itu dengan cara yang baik dan berhikmah, insya-Allah penulis sedia dan sanggup menerimanya.

Penulis berasa sangat-sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin, hidayah dan limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga, dapatlah penulis siapkan penulisan buku ini dengan jayanya setelah dimulakan kira-kira lapan bulan yang lalu, dengan mengambil lebih seratus buah rujukan dari pelbagai jenis dan dan bentuk. Ternyata pada hari ini buku ini telahpun selesai. Memang benar bahawa buku dan kitab-kitab berkenaan Pemuda Bani Tamim, Imam Mahdi, Dajjal, Nabi Isa AS dan tanda-tanda kiamat yang lain sudah cukup banyak di pasaran, sejak sekian lama lagi, suatu keadaan yang cukup baik. Kebanyakannya ditulis oleh para ulama yang soleh lagi takwa, taat sepenuhnya, tinggi tawakalnya, banyak berkatnya serta selalu mengamalkan ilmunya. Namun ada juga yang ditulis oleh orang-orang kebanyakan yang berminat dengannya. Tetapi yang saya sajikan di dalam buku kecil ini rasanya sudah cukup memadai, sesuai dengan ilmu saya yang terlalu cetek dan amalan yang amat sedikit ini.

Buku ini tamat ditulis pada bulan yang mulia Jamadilakhir 1422 Hijrah, bersamaan dengan penghujung bulan September 2001. Kepada Allah jua kukembalikan buku ini, dari segi faedahnya dan ganjarannya. Dan ya Allah, jika ada pahala yang Engkau peruntukkan kepadaku, maka semuanya itu aku hadiahkan kepada ibu dan bapaku, anak isteriku, kaum keluargaku, guru-guruku, terutamanya kepada Sahibuz Zaman untuk kurun Hijrah ke-15 ini , para saudara Ikhwanku yang dikasihi dan kepada Rasul SAW yang tercinta, para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum, para Aulia yang solihin dan para ulama ul-amilin. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian. Salah silap ampun maaf.

Wassalam.

This entry was posted on Tuesday, June 15, 2010 at Tuesday, June 15, 2010 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

ko amik kt mne ye kisah ni?buku ye?buku ape?

June 15, 2010 at 9:53 AM

Post a Comment