Selamat Datang ke Milo Panas  

Posted by Budak Milo in

Assalamualaikum

Selamat Datang ke blog baru, ~Milo Panas~. Atas beberapa sebab yang tak perlu dijelaskan di sini, blog lama Apa-kenapa-bagaimana telah pun ditutup dan bolehlah disimpan sebagai kenangan. Namun, beberapa post yang menarik akan disiarkan semula di sini untuk dikongsi bersama. Boleh la makan biskut mary cicah milo panas sambil baca blog ni..



Yuran universiti: Jadikan PTPTN pilihan terakhir  

Posted by Budak Milo in

Kepada bakal mahasiswa, pastinya anda tiada pilihan kerana di dalam banyak-banyak sumber pinjaman, pegawai PTPTN akan menjadi orang pertama yang akan datang ke universiti anda menjengah muka kononnya bakal menjadi penyelamat bagi menampung semua kos pegajian anda.

Lalu, bagi mereka yang terdesak dan tidak mahu menanggung risiko, pastinya terus menandatangani perjanjian tanpa sedikit pun membaca isinya serta memikirkan kesan jangka panjangnya.

Nasihat saya kepada bakal mahasiswa, jika anda ada sumber pinjaman lain, sebaiknya janganlah anda terjerat dengan meminjam pinjaman PTPTN. Kesan jangka panjang dengan menjadi hamba kos petadbiran PTPTN akan anda rasai nanti setelah anda selesai menamatkan pegajian.

Untuk pengetahuan anda, PTPTN tidak akan melayan dan memahami anda ketika anda memasuki babak mencari kerja. PTPTN bukan tidak tahu selepas anda habis pengajian, anda belum tentu mendapat pekerjaan tetap atau menganggur.

Kadang-kadang ada dikalangan graduan sehingga 2 hingga 3 tahun, menganggur dan gagal melunaskan bayaran balik pinjaman. PTPTN tetap tidak akan melayan anda walaupun anda menghantar surat rayuan memohon jasa baik mereka memberi sedikit masa kepada anda mendapatkan pekerjaan dan mampu membayar balik. Bagi mereka, pinjaman adalah pinjaman dan wajib dibayar.

Setelah anda masuk di dalam babak sedang bekerja sekali pun, PTPTN tidak mahu mendengar penjelasan anda bahawa gaji anda layak untuk anda hidup sebagai golongan miskin tegar sahaja.

Apa tidaknya semakin hari kos hidup semakin meningkat. Bagi PTPTN, anda ada gaji dan boleh bayar hutang. PTPTN tidak akan melayan anda jika anda menghantar surat rayuan memohon agar menerima jumlah bayaran tetap sebanyak RM100 setiap bulan sementara ekonomi anda sudah cukup stabil bagi mengikut kadar bayaran yang ditetapkan oleh PTPTN.

PTPTN bukan sahaja tidak melayan, malah wang RM100 sebulan itu cukup menampung kos petadbirannya sahaja. Apabila anda menyemak penyata tiap-tiap bulan, bukan sahaja jumlah pokok pinjaman anda tidak bergerak, malah jumlah baki pinjaman anda sentiasa bertambah dari bulan ke bulan. Moral anda sebagai pembayar setia pasti jatuh dan kecewa serta behasrat menulis luahan hati kepada Utusan Malaysia.

Babak menerima surat peringatan PTPTN adalah babak paling menyedihkan. Setiap bulan jika anda seorang pembayar setia, pastinya kehadiran surat ini bagaikan surat kekasih memohon memutus cinta.

Rasa kecewa pasti tergambar kerana anda tidak pernah lupa dan mengabaikan pembayaran. PTPTN tetap mahu anda membayar jumlah pokoknya kerana bayaran anda sebelum ini hanya mampu menampung kos petadbirannya sahaja.

Ancaman mendakwa anda jika gagal melunaskan dalam masa 14 hari adalah ugutan yang paling menyentuh jiwa. Difikiran anda pasti terkenang dan berkata “mujur aku bayar dan tidak lari, itupun PTPTN masih tidak menghargai”.

Inilah antara kesan jangka panjang yang akan anda rasai jika anda adalah seorang peminjam PTPTN. Adalah lebih baik, anda mohon satu pinjaman peribadi dan bayar keseluruhan jumlah pinjaman PTPTN anda kerana pinjaman peribadi memberi kadar faedah tahunan dan bukan kadar faedah bulanan 3 peratus sebulan yang dilakukan oleh PTPTN.

Sebaiknya, sebagai bakal mahasiswa, jika anda ada sumber pinjaman lain, gunakanlah sumber pinjaman itu dan elakkanlah meminjam dengan PTPTN.

Malaysiakini

MELAYU TIPU MELAYU...!!!! ?  

Posted by Budak Milo in

Tahukah anda bahawa orang Melayu sebenarnya adalah bangsa yang hebat dan berteknologi?

Ya! betul.... tak tipu... hanya kerana Melayu telah menipu Melayu menyebabkan kita terus hanyut dengan tipu daya bermatlamat untuk memberikan kehinaan kepada bangsa Melayu dengan cara yang paling licik dan halus.

Kali ini kita menyorot kegemilangan kesulatanan Melaka yang telah mengalahkan tentera Siam, apakah mereka menggunakan keris dan lembing?

Teknologi meriam semakin maju pada abad ke-14, seluruh dunia berlumba-lumba mendapatkan teknologi ini. Kerajaan-kerajaan Eropah, wilayah-wilayah bekas Empayar Abbasiah dan Turki Uthmaniyyah, Empayer China dan kerajaan Ayutthia berusaha untku tidak ketinggalan dalam soal mengambil tahu atau memiliki meriam malah melatih rakyat mereka mempelajari cara membuat meriam.

Oleh itu apakah Kerajaan Melaka ketika itu tidak mengambil pengajaran dari perkembangan ini? Sedangkan Melaka adalah pelabuhan yang terkenal dan paling sibuk waktu itu!

Filem-filem dan drama pendekar di Malaysia sahaja menggambarkan pendekar Melayu berperang menggunakan keris dan lembing selepas bergaduh di warung berdinding buluh dan beratapkan rumbia. Sungguh memalukan.

Apabila orang luar membuat filem tentang Melayu, mereka menggambarkan pendekar Melayu menggunakan pistol, meriam dan senapang. Malah pendekar Melayu memakai baju kulit dan sesetengahnya memakai baju zirah; baju besi untuk mengelakkan serpihan peluru meriam melukai daging kulit. Dari mana mereka mengorek rahsia ini? Dari catatan-catatan sejarah mereka yang diluar kawalan Raffles,Winsted,Swettenham dan Leyden.

Dalam budaya masyarakat Melayu, Kesultanan Brunei adalah diantara salah sebuah Kerajaan Melayu yang menggunakan Pemuras sebagai salah sebuah alat kebesaran kerajaan atau regalia. Ia menjadi lambang kebesaran Brunei dengan panggilannya yang tersohor ‘Pemuras dan Karga’. Karga ialah bekas menyimpan peluru pemuras yang dibuat cantik dan berseni.

Senjatapi yang dinamakan Pemuras adalah antara senjata yang gemar digunakan oleh orang-orang Melayu dahulukala. Dalam Perang Naning, catatan askar Inggeris menyatakan orang-orang Melayu amat pandai menggunakan Pemuras ini sehingga Inggeris terpaksa menghantar beberapa kali pasukan tenteranya menentang Dol Said dan Perang Naning juga berlaku dalam beberapa siri. Orang-orang Melayu Borneo khususnya orang Brunei dan Sulu adalah mereka yang selalu menggunakan Pemuras.

Banyak lagi senjatapi yang digunakan oleh orang Melayu, selain Pemuras, satu lagi senjatapi yang bernama Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis. Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis. Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak.

Nah.... jelas sudah bahawa ada agenda tersembunyi yang licik diputarkan kedalam minda Melayu agar Melayu terus menjadi bodoh dan berangapan mereka adalah masyarakat bodoh sedangkan Melayu telah bertemadun setanding dengan bangsa-bangsa lain.

Imam Mahdi: Pemimpin Akhir Zaman: Episode Finale  

Posted by Budak Milo in

Penutup

Sebagai seorang yang mengaku beragama Islam, sepatutnya kita menyedari dan mengakui sungguh-sungguh bahawa kemunculan Imam Mahdi tetap akan berlaku apabila masanya tiba. Bagaimanapun, berita mengenai kedatangan Imam Mahdi ini tidak sepatutnya menghalang kita sebagai seorang Islam daripada menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT, yang lazim kita sebut sebagai Hablum minallah. Amal ibadat kita hendaklah terus-menerus diperkemas dan diperindahkan zahir dan batinnya, termasuk seni-seninya yang halus-halus itu.

Juga tidak patut menjadi penghalang kepada kita daripada menegakkan keadilan, menentang kezaliman dan mendidik umat tentang Islam. Juga tidak boleh menjadi penyebab yang menghalang kita daripada terus mencari kehidupan yang lebih baik. Mustahil semasa menanti Imam Mahdi, semua kegiatan kita diberhentikan begitu sahaja. Kita hendaklah terus-menerus berusaha memperbaiki hubungan kita sesama manusia, menurut apa yang dituntut dalam Hablum minannas.

Hanya golongan yang sesat sahaja yang bersikap pasif, mundur dan tidak berbuat apa-apa semasa mereka menanti kedatangan Imam Mahdi mereka. Golongan yang benar dan dibantu oleh Allah, tidak akan duduk diam sepanjang penantian mereka. Merekalah orang yang paling maju pada zamannya, orang yang paling cerdik pada zamannya dan orang yang paling bertakwa pada zamannya. Ini dikeranakan, menanti Imam Mahdi muncul bererti mereka terpaksa bekerja lebih masa untuk membangunkan tapak daulah untuk Imam Mahdi mereka, paling cerdik dalam menyusun strategi perjuangan kerana Imam Mahdi akan zahir dan berjuang menentang kuasa Barat dan paling bertakwa kerana Imam Mahdi mereka adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah, di samping merupakan syarat utama untuk mendapat bantuan terus dari Allah.

Merekalah orang yang paling maju dunianya, paling maju akhiratnya, paling maju agamanya, paling maju fikiran dan akalnya, paling maju rohaniahnya dan paling berjaya hidupnya. Roh Islam itu ada pada mereka, dan merekalah penghidup sebenar bagi roh Islam pada zaman itu. Merekalah golongan yang paling kenal Tuhannya dan paling sensitif hatinya terhadap Tuhan. Roh merekalah yang paling akrab, cinta dan takut dengan Tuhan. Tidak akan berlaku pada satu-satu kurun itu dua kumpulan kerohanian yang boleh menghidupkan roh Islam secara serentak. Hanya salah satu sahaja daripadanya yang akan benar-benar mampu dan diberi keupayaan untuk menghidupkan roh Islam. Yang satu lagi hanyalah bersifat pengekor, atau menumpang rahmat roh Islam pihak yang satu lagi itu.

Abad demi abad terus berlalu, sejak dari Zaman Kenabian hinggalah ke hari ini. Banyak peristiwa yang disebutkan telah pun berlaku dan terjadi, satu demi satu. Dan adalah berkemungkinan bahawa banyak lagi peristiwa lain yang akan terus berlaku sebelum Imam Mahdi itu muncul. Ada yang berbentuk baru dan ada yang merupakan ulangan peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini. Kemunculan tiga orang tokoh pemimpin Islam secara berturut-turut yang didahului oleh Pemuda Bani Tamim, diikuti tidak lama kemudiannya oleh Imam Mahdi dan seterusnya diikuti pula oleh Nabi Isa AS adalah sebagai pelengkap kepada kecemerlangan umat Islam seperti yang pernah dihayati oleh umat Islam pada peringkat awalnya dahulu. Ketiga-tiganya saling kait-mengait dan saling perlu-memerlukan. Nabi Isa AS misalnya tidak akan muncul melainkan setelah munculnya Dajjal. Dajjal pula tidak akan muncul melainkan setelah munculnya Imam Mahdi dan Imam Mahdi pula memerlukan Pemuda Bani Tamim sebelum beliau boleh muncul.

Mana-mana orang Islam yang sampai tergendala tugasan hariannya hanya semata-mata kerana menantikan ketibaan sang penyelamat, sebenarnya telah melakukan satu kesilapan yang amat besar. Yang demikian adalah suatu salah faham yang sangat besar terhadap konsep Imam Mahdi itu sendiri. Mereka telah meninggalkan kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh al-Quran dan hadis. Semata-mata mengharapkan kedatangan Imam Mahdi ke hadapan kita dan seterusnya beliaulah pula berseorangan mahu membetulkan seluruh keadaan dunia hari ini adalah silap besar, melainkan jika Imam Mahdi sudah benar-benar wujud di depan mata kita dan sedang memerintah dunia. Apa peranan kita sebagai pembantu atau pengikut Imam Mahdi? Sayang seribu kali sayang, itulah fenomena yang berlaku kepada kita pada hari ini.

Selagi peribadi unggul yang bergelar Imam Mahdi itu belum benar-benar muncul, kitalah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap keadaan hidup kita pada hari ini. Baik atau buruknya, kitalah yang menanggungnya. Tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada mana-mana individu. Oleh itu, kenalah kita yang berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri, mengamalkan ajaran Islam dalam diri sendiri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara. Itulah sebenarnya sumbangan kita kepada Islam dan sumbangan itu, walaupun kecil pada pandangan kita, amat besar nilainya pada sisi Allah SWT.

Namun, menafikan terus kedatangan Imam Mahdi juga adalah pandangan yang menampakkan keegoan kita dan cuba menutup kelemahan dan kekurangan diri sendiri. Langsung tidak percaya kedatangan Imam Mahdi adalah sifat orang yang ego dan tidak berilmu yang mendalam. Menyuruh umat Islam bekerja sendirian tanpa perlu mengharapkan ketibaan sang penyelamat adalah pendapat palsu. Pendapat ini adalah ‘diimport masuk’ dari pendapat Zionis terhadap orang-orang Yahudi. Sekuat mana pun kita berusaha dan bertawakal, tidak akan berjaya juga. Hanya orang pilihan Allah sahaja yang mampu membawa seluruh umat Islam ini ke mercu kejayaan, sebab dia dibantu secara langsung oleh Allah.

Menuduh konsep Imam Mahdi berasal daripada Syiah adalah menampakkan kedangkalan ilmu orang yang berkata demikian kerana yang sebenarnya Syiahlah yang meniru konsep Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan cara mereka-reka hadis palsu, membuat-buat cerita khayalan dan memasukkan juga unsur-unsur Majusi di dalamnya. Ini mungkin sahaja berlaku kerana mereka ingin mendapatkan pengaruh yang cepat daripada orang-orang Parsi yang baru dikalahkan oleh Islam itu, agar dendam mereka terhadap orang-orang Arab yang menjatuhkan kerajaan Majusi Sasanid Parsi itu dapat dikurangkan.

Orang yang menuduh ini juga adalah orang yang keliru antara konsep Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan konsep Imam Mahdi Syiah sehingga tidak dapat membezakan antara kedua-dua jenis Imam Mahdi itu. Orang yang sebegini sepatutnya memperdalamkan lagi ilmunya terhadap persoalan yang dihadapinya sebelum boleh mengeluarkan kata-kata, agar tidak digelakkan orang pada kemudian hari.

Berdasarkan huraian-huraian dan tafsiran yang telah diberikan secara ringkas, begitulah kisah betapa peri pentingnya kita, umat Islam pada akhir zaman ini, mencari dan mengikuti pemimpin yang sudah Allah tunjukkan kepada kita untuk diikuti dan ditaati. Sebagai rumusannya, ketiga-tiga pemimpin besar pada akhir zaman inilah yang akan diberikan kemampuan oleh Allah untuk membawa seluruh umat Islam ke mercu kejayaan seperti yang pernah berlaku pada zaman Nabi SAW dan Khulafa dahulu. Ketiga-tiga mereka itu iaitu Pemuda Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa AS adalah orang-orang yang sudah Allah SWT tunjukkan kepada kita untuk kita ikuti sebagai pemimpin kita. Maka beruntunglah orang-orang yang dengan segera dapat menangkap perintah-perintah tersirat ini.

Mereka bertiga inilah yang kelak akan membangunkan semula Islam sehingga seluruh umat Islam akan menjadi tuan kepada seluruh dunia, seperti yang pernah dikecapi oleh para Sahabat RA dan tabiin RH dahulu. Bukan sebarang orang dapat membawa Islam ke kemuncak kejayaan, rohani dan lahiriah, seperti yang benar-benar dituntut oleh agama kita ini. Orang-orang yang telah ditunjuk dan diturunkan oleh Allah untuk tugas itu sahaja yang akan Dia berikan kejayaan dalam tugas maha besar mereka itu.

Memang bukan mudah untuk mempersatukan hati-hati seluruh manusia. Alangkan untuk mempertautkan hati sesama ahli parti atau jemaah kita sendiri pun amatlah susahnya, inikan pula untuk mempertautkan hati sesama umat Islam di seluruh dunia, yang tidak pernah kenal dengan kita, dan tidak pernah diakui sebagai pemerintah mereka. Kita boleh bertanya kepada mana-mana pemimpin pun, baik yang besar mahupun yang kecil jemaahnya, bagaimana sukarnya untuk memperbaiki hati-hati mereka. Maka bayangkanlah betapa sukarnya pula untuk menjalankan tugas yang sama yang ternyata terlebih-lebih sukarnya lagi itu.

Oleh itu, akuilah bahawa sebenarnya tugas memimpin umat Islam ini bukanlah hak kita, dan kita pun tidak boleh cuba-cuba mendakwa bahawa kita akan cuba sedaya upaya untuk menjalankan tugas itu. Ingatlah, hati sendiri pun amat jauhnya daripada Tuhan, inikan pula hendak membawa hati orang lain untuk mendekati Tuhan mereka. Lebih baiklah kita memperbaiki diri dan hati kita daripada cuba-cuba memperbaiki dan mendekatkan hati manusia yang sedang lalai kepada Tuhan. Sesuatu yang amat mustahil untuk dilakukan.

Itulah beberapa perkara yang dapat disentuh di dalam buku ini. Tulisan yang seperti ini semestinya tidak dapat memuaskan hati banyak pihak kerana kekurangan-kekurangan yang nyata didapati di dalamnya.

Mungkin ada beberapa perkara lagi yang tidak disentuh oleh penulis walhal perkara itu mungkin amat penting dan perlu disentuh. Mungkin juga kerana kebanyakan hadis itu tidak dituliskan rawinya dan tidak juga disertakan sanadnya. Ini jelas melanggar etika ilmu mustalah hadis, terutama pada pandangan ulama hadis yang mahir-mahir dalam bidang ilmu mereka. Mungkin banyak hadis di dalamnya yang bernilai maudhuk pada pandangan sebahagian ulama hadis yang terkenal tegas dan ketat. Juga terdapat beberapa buah hadis lagi yang dengan sengaja tidak dimasukkan sama, walaupun sebenarnya agak perlu juga. Jika demikian, penulis meminta maaf sebanyak-banyaknya. Tetapi penulis tetap mempunyai pendirian sendiri dalam menanggapi dan memahaminya.

Mungkin juga ada beberapa huraian yang kurang jelas, atau bercanggah sama sekali dengan penerimaan umum, atau penulis dilihat terlalu memandai-mandai sendiri. Mungkin juga kerana huraian itu tidak lengkap, terlalu pendek dan memerlukan penerangan yang lebih lanjut. Beberapa pendapat lagi sengaja tidak dimasukkan kerana dirasakan tidak berapa perlu dimasukkan di sini. Penulis telah mencuba sedaya upaya memendekkan tulisan di dalam buku ini untuk mengurangkan ketebalannya. Tetapi setakat inilah yang dapat dikurangkan oleh penulis sebagai tatapan sekalian pembaca. Jika terlalu pendek, nanti sama pula dengan kandungan buku-buku lain yang telah sedia ada di tangan kita, dan jika terlalu panjang, cepat menjemukan sebelum sempat habis membacanya.

Walau apa pun pendapat, pandangan, kritikan dan hujah, amatlah diharapkan apa yang disajikan ini, mudah-mudahan merupakan suatu usaha awal dalam memberikan sebuah pandangan yang berlainan daripada yang telah sedia disajikan oleh pihak lain sebelum ini. Pandangan yang berlainan itu bukan bermaksud huraian ini merupakan suatu ilmu baru, tetapi sebenarnya adalah ilmu yang itu juga, ilmu yang diajarkan pada permulaan Islam, tetapi sudah lama terbiar dan tidak dikutip oleh sesiapa pun. Maka asinglah ilmu tersebut pada pandangan kita yang baru ini. Maka dikatakan ilmu lama ini sebagai ilmu baru, kerana baru dibongkar setelah sekian lama tertanam di dalam perut bumi atau setelah sebegitu lama ruang Arasy tidak terjangkau orang.

Sekurang-kurangnya pun, biarlah kandungan buku ini menjadi suatu pembuka minda, jika pun tidak mahu diterima sebagai suatu kebenaran dan kenyataan. Mungkin ramai yang akan mempertikaikan huraian yang diberikan, atau taraf hadis-hadis berkenaan, malah kandungan hadis-hadis itu sendiri. Mengenai hal ini, penulis telah merujuk kepada orang yang dirasakan sepatutnya kita merujuk, yang ilmunya bertepatan dengan kebenaran hakiki, yang bersesuaian pula erti dan huraiannya dengan keadaan semasa, sambil mencari jawapan hakiki daripada yang Maha Hak atas segala yang hak. Setelah yakin dengan apa yang diperoleh, barulah penulis masukkan ke dalam buku ini. Hal ini sebenarnya amatlah sukar didapati di kalangan ilmuan dan sarjana serta umat Islam amnya, apatah lagi pada zaman moden yang serba mencabar ini.

Sebabnya, ilmu-ilmu sebegini sudah terlalu asing bagi kebanyakan kita umat Islam. Bagi yang sudah sedia percaya pula, biarlah buku ini dapat membantu menambahkan lagi pengetahuan dan memperkukuhkan keyakinan terhadap persoalan ini. Semoga kita terus diberikan hidayah oleh-Nya. Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu menapak kukuh di dalam hati, lalu menyerap ke seluruh anggota untuk diamalkan dan menyinar ke puncak fikiran untuk dicernakan. Dengannya roh seseorang itu hidup dan memesra dengan iman. Imannya kian bertambah dan memantap di dalam kalbu dan akal. Ilmunya sentiasa hidup kerana diambil terus dari sisi Yang Maha Hidup, bukannya ilmu yang mati yang diambil dari benda yang mati. Ilmu yang celaka adalah ilmu yang mati, semata-mata tinggal di dalam kepala atau tersimpan kukuh di dalam halaman buku-buku. Lebih malang lagi, ilmunya hanya disebarkan melalui akhbar-akhbar yang tidak pernah dipusakakan oleh sesiapa pun. Setelah seminggu atau sebulan, segala yang kita tulis itu dilupakan orang, buat bungkus nasi lemak sahaja, bolehlah.

Segala yang diceritakan oleh penulis di dalam buku ini adalah suatu yang sememangnya benar, tetapi sudah ‘dikuburkan ceritanya’ oleh banyak pihak. Ilmu-ilmu begini sudah lama luput dari tangan kita, ilmu yang membawa umat Islam ke puncak kegemilangan dan ilmu yang menjadikan umat Islam tuan di dunia ini. Ilmu sebegini datangnya dari hati yang khusyuk dalam sembahyangnya kepada Allah. Ya, kita sekarang hidup pada suatu zaman yang ilmu-ilmu Islam sejati sudah lama dibatunisankan. Kita dikeronyok oleh musuh dari segenap penjuru, segenap arah, disibukkan lagi oleh dunia yang amat menipu daya, dan oleh pekerjaan yang sia-sia bagi akhirat.

Hanya orang yang rapat dengan Imam Mahdi sahaja yang akan lebih tahu tentang Imam Mahdi itu, termasuk segala hal yang sebelum ini begitu rahsia dan tidak pernah diketahui oleh orang lain atau rakaman yang sudah dilupakan oleh sejarah. Kerana itulah penulis menamakan buku ini dengan tajukrahsia-rahsia kegemilangan umat Islam pada zaman moden ini. Dan ketahuilah bahawa orang yang lebih mengetahui tentang Imam Mahdi sudah pastilah terdiri daripada orang-orang kanannya apabila Imam Mahdi itu muncul kelak. Hanya orang-orang kanan kepada seorang pemimpin besar sahaja yang lebih mengetahui jalan pemikiran pemimpin besar mereka itu, dan segala hal yang sulit yang tidak pernah diketahui dan difahami oleh orang lain.

Jadi, orang yang tidak berkaitan sebenarnya hanya mampu memperkatakan mengenai Imam Mahdi dari segi yang sudah sekian lama diperbincangkan sehingga menimbulkan perasaan jemu orang yang membacanya. Sebabnya, asyik-asyik perkara itu juga yang diulang-ulang sebut, langsung tiada perubahan dan langsung tidak membawa apa-apa manfaat yang besar, baik kepada penulis itu sendiri mahupun kepada khalayak pembaca yang disasarnya. Masing-masing hanya cuba mempertahankan pendapat yang telah sekian lama berlegar dengan cuba mencari dalil-dalil baru yang lebih saintifik agar dia dilihat lebih terkehadapan dalam soal ini. Itu sahaja dan tidak lebih. Noktah.

Sebenarnya, fikiran kita telah lama terjajah, akal kita sudah lama terbelenggu, pandangan kita sudah lama dibelokkan dan hati kita sudah lama ditutup. Oleh itu, setiap apa yang kita fikirkan, adalah terhad menurut apa yang ditetapkan oleh sukatan fikiran penjajah Barat. Kita tidak dapat dan tidak berani memikirkan sesuatu yang melampaui daripada apa yang telah ditetapkan oleh sukatan fikiran itu. Para ulamanya juga tidak mampu memikirkan sesuatu yang lebih jauh daripada ‘sempadan’ itu. Jika berani memikirkannya pun, tidak berani melaksanakannya dengan sebenar-benarnya kerana takut kepadasekatan-sekatan ghaib yang disogokkan secara halus oleh Barat. Jika ada pihak lain yang berani memperkatakan sesuatu yang lebih daripada itu ataulari daripada sukatan, maka orang itu akan lekas-lekas dituduh sebagai pembidaah, penyeleweng dan perosak agama atas nama agama. Dan mereka beramai-ramai akan menjadi tukang soraknya sehingga pihak yang berkata benar itu disesatkan, dibidaahkan, diselewengkan atau dihukum dengan sesuatu hukuman menurut undang-undang sivil di negara itu.

Akal kita sudah lama dibelenggu sehingga jadilah akal kita umpama katak di bawah tempurung, hanya sibuk memikirkan hal-hal yang di sekeliling pinggang kita, yang ternampak oleh kita dan yang tercapai oleh kita. Apa yang ada di luar tempurung kita, sudah tidak dapat difikirkan lagi. Jika dapat difikirkan pun, kita tidak dapat berbuat lebih daripada itu. Kegiatan, pemikiran dan pelaksanaan kita terhadap agama kita sendiri amatlah terbatas, dibataskan oleh penjajah yang pada hakikatnya masih lagi menjajah kita umat Islam. Kita mempelajari sejarah tetapi sebenarnya kita masih lagi buta hakikat sejarah. Akal besar kita sudah lama ditekan-tekan dan dikecilkan, sehingga menjadi benar-benar halus, sehalus yang dikehendaki oleh pihak penjajah sejak dahulu.

Pandangan kita juga sudah lama dibelokkan sehingga kita sudah tidak nampak lagi jalan Allah yang luas terbentang dan lurus, selamat untuk dilalui oleh sesiapa yang ingin mendapatkan hidayah-Nya. Kita jadi takut kepada agama sendiri. Sistem Barat dianggap sebagai salah satu sistem yang terbaik untuk menggantikan hukum Allah. Ramai yang beranggapan sistem demokrasi Barat yang sedang kita gunakan hari ini adalah ‘saudara kembar’ kepada perundangan Islam. Boleh ikut salah satunya atau lebih baik lagi jika diadukkan sekali, menjadi sistem rojak - Islam bukan, Barat pun tidak - setengah Islam setengah Barat. Jika ditanya, Baratkah itu atau Islamkah itu?, pastilah akan dijawabnya Barat yang sesuai dengan Islam, dan Islam yang sesuai dengan Barat. Akhirnya, orang Barat tidak akuinya dan Allah SWT pun sekali-kali tidak terima. Namun, itulah hakikat yang berlaku pada hari ini. Malang sungguh nasib umat Islam pada hari ini, baik dari segi zahir mahupun batinnya.

Para ulamanya ramai tetapi nasib umat Islam tidak ubah seperti buih di lautan, terlonta-lonta ke sana ke mari dilambung ombak. Ilmu mereka banyak tetapi tumpul setumpul-tumpulnya, tidak dapat digunakan untuk membela nasib umat Islam. Untuk melawan musuh, lagilah tidak dapat digunakan. Ilmu mereka ibarat bangkai, badannya cantik menawan dan penuh perhiasan, mempunyai otak yang penuh bercahaya, tetapi tidak mempunyai nyawa untuk menggerakkannya. Cantik tetapi tiada nilai atau cantik tetapi tidak boleh digerakkan. Memang benar, kita amat memerlukan seorang pemimpin yang benar-benar dapat memulihkan iman kita, menegakkan fikrah kita, mengembalikan fitrah kita, menguatkan agama kita, mengalahkan musuh kita, membesarkan roh Islam kita, meneguhkan pendirian kita, mempertajamkan jihad kita dan yang menegakkan kebenaran, yang berani mengatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah.

Segala yang sudah tertulis ini adalah berpandukan kepada sumber-sumber yang pada anggapan kita boleh diyakini dan berwibawa, walaupun mungkin satu atau beberapa fakta di dalamnya mungkin tersasar. Jika demikian, kepada Allah jua saya pohonkan keampunan. Memang sudah lumrahnya sifat manusia itu iaitu pelupa dan lalai dalam pelbagai segi. Namun, janganlah dikeranakan satu atau dua fakta yang mungkin didapati tidak tepat, maka seluruh isi buku ini, termasuk yang hal-hal benar turut sama dibuang dan ditolak. Sifat sebegitu bukanlah akhlak seorang mukmin sejati seperti yang dituntut oleh agama. Terimalah apa adanya menurut yang dibenarkan oleh syarak. Perbetulkan mana-mana kesilapan atau kesalahan itu dengan cara yang baik dan berhikmah, insya-Allah penulis sedia dan sanggup menerimanya.

Penulis berasa sangat-sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin, hidayah dan limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga, dapatlah penulis siapkan penulisan buku ini dengan jayanya setelah dimulakan kira-kira lapan bulan yang lalu, dengan mengambil lebih seratus buah rujukan dari pelbagai jenis dan dan bentuk. Ternyata pada hari ini buku ini telahpun selesai. Memang benar bahawa buku dan kitab-kitab berkenaan Pemuda Bani Tamim, Imam Mahdi, Dajjal, Nabi Isa AS dan tanda-tanda kiamat yang lain sudah cukup banyak di pasaran, sejak sekian lama lagi, suatu keadaan yang cukup baik. Kebanyakannya ditulis oleh para ulama yang soleh lagi takwa, taat sepenuhnya, tinggi tawakalnya, banyak berkatnya serta selalu mengamalkan ilmunya. Namun ada juga yang ditulis oleh orang-orang kebanyakan yang berminat dengannya. Tetapi yang saya sajikan di dalam buku kecil ini rasanya sudah cukup memadai, sesuai dengan ilmu saya yang terlalu cetek dan amalan yang amat sedikit ini.

Buku ini tamat ditulis pada bulan yang mulia Jamadilakhir 1422 Hijrah, bersamaan dengan penghujung bulan September 2001. Kepada Allah jua kukembalikan buku ini, dari segi faedahnya dan ganjarannya. Dan ya Allah, jika ada pahala yang Engkau peruntukkan kepadaku, maka semuanya itu aku hadiahkan kepada ibu dan bapaku, anak isteriku, kaum keluargaku, guru-guruku, terutamanya kepada Sahibuz Zaman untuk kurun Hijrah ke-15 ini , para saudara Ikhwanku yang dikasihi dan kepada Rasul SAW yang tercinta, para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum, para Aulia yang solihin dan para ulama ul-amilin. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian. Salah silap ampun maaf.

Wassalam.

Imam Mahdi: Pemimpin Akhir Zaman 9  

Posted by Budak Milo in

Pemerintahannya Selepas Kematian Dajjal

Imam Mahdi akan memerintah semula dunia ini selepas kematian Dajjal dengan penuh keadilan, aman makmur dan bahagia. Lama pemerintahannya pada masa ini adalah sembilan tahun. Dengan itu lengkaplah tempoh pemerintahannya selama empat puluh tahun yang penuh gilang-gemilang dan diriwayatkan dengan tinta emas. Itulah kemuncak peradaban manusia pada akhir zaman dan tidak ada lagi yang lebih hebat daripada itu.

Selepas membunuh sekalian bangsa Yahudi sehingga bangsa itu hampir-hampir sahaja pupus dari atas muka bumi ini, Nabi Isa AS akan membantu Imam Mahdi membunuh babi dan kera yang terdapat di seluruh dunia. Nabi Isa AS akan turut mematahkan salib yang terdapat, sama ada di gereja atau di bangunan atau di mana-mana sahaja sehingga akhirnya tiada lagi salib yang tinggal di atas dunia ini. Agama Kristian juga akan pupus dari atas dunia ini pada masa itu dan tidak akan muncul-muncul lagi sehinggalah ke saat berlakunya kiamat nanti.

Pada masa inilah akan berlaku beberapa perkara besar, yang tidak pernah lagi berlaku sejak Nabi Adam AS hinggalah ke hari kiamat. Yang pertama sekali, diberkatkan pada buah-buahan sehingga buah yang ada pada hari ini menjadi besar-besar dan lazat-lazat, sehingga sebiji delima dapat dimakan oleh sekumpulan orang dan mengenyangkan. Kulitnya dapat menaungi beberapa orang budak yang berteduh di bawahnya. Begitu juga dengan buah-buahan yang lain, yang turut mengalami perubahan dari segi saiz, bentuk, rasa dan baunya.

Diberkatkan juga biji-bijian dan tanam-tanaman sehingga secupak benih yang ditanam dapat menghasilkan lebih daripada 700 cupak apabila dituai. Pokoknya juga cepat masak, tidak berpenyakit dan tidak perlu dibaja lagi kerana hujan yang turun mencurah-curah membawa bersama-samanya baja yang amat menyuburkan. Pokok-pokoknya juga tidak tinggi dan tidak mudah rosak. Dan secupak makanan yang dimasak dapat dimakan oleh sekumpulan orang sehingga mereka benar-benar kekenyangan kerananya.

Diberkatkan juga pada air, sama ada pada air hujan, air sungai dan air laut. Air begitu mudah diperoleh di mana-mana kawasan pun yang dikuasai oleh Imam Mahdi. Airnya mengalirkan parit-parit dan sungai-sungai dalam keadaan jernih dan bersih, tidak lagi kotor seperti sebelum Imam Mahdi muncul. Air yang bersih dan banyak ini selamat untuk diminum dan digunakan sebagai keperluan harian. Air hujannya membawa berkat yang amat banyak kepada manusia dan tidak membahayakan. Banyak hasil ikan dan makanan laut untuk dimakan oleh seluruh manusia. Semuanya diberkatkan oleh Tuhan melalui keberadaan Imam Mahdi dan Nabi Isa AS di kalangan manusia. Dan itulah kelebihan sesuatu umat yang mempunyai pemimpin yang bertakwa.

Diberkatkan haiwan-haiwan ternakan sehingga binatang-binatang itu berkembang biak dengan pesat, gemuk-gemuk dan besar-besar. Sekali perahan susunya dapat diminum oleh sekumpulan orang hingga kenyang. Haiwan-haiwan ini tidak perlu dijaga sangat kerana tidak ada orang yang mahu mencurinya, juga tiada haiwan pemburu yang akan menerkamnya. Haiwan ini akan keluar pada pagi-pagi hari dan pulang sendiri pada waktu petang. Haiwan-haiwan ternakan itu juga amat jinak, iaitu jinak dengan sendirinya sehingga tidak perlu dijinakkan lagi. Untuk menyembelih seekor lembu cukup seorang sahaja melakukannya, tanpa perlu meminta bantuan orang lain lagi. Ayam dan itik bertelur dengan banyak pada setiap hari dan dagingnya dapat dimakan selalu.

Diberkatkan pada haiwan-haiwan berbisa sehingga haiwan ini tidak mempunyai bisa lagi dan jinak pula dengan manusia. Haiwan-haiwan ini bukan sahaja tidak menakutkan manusia, malah boleh berkawan baik pula dengan anak-anak manusia seperti kawan yang sudah lama saling mengenali. Harimau, serigala dan singa akan keluar dari dalam hutan lalu berkawan dengan manusia di kampung-kampung dan bandar-bandar, tinggal bersekali dengan manusia tanpa sebarang mudarat. Ular dan kala berkawan dan bermain-main dengan anak manusia tanpa risau mereka akan mematuk atau menyengat kanak-kanak itu.

Diberkatkan pada masa sehingga setahun pada masa itu sama panjangnya dengan dua puluh tahun pada masa kita ini. Keadaan yang amat berkat ini menyebabkan kanak-kanak merasakan dirinya telah lama hidup sedangkan dia masih lagi kanak-kanak, seakan-akan dirinya telah dewasa manakala orang-orang dewasanya merasakan dirinya kembali seperti zaman kanak-kanak kerana tidak perlu memikirkan apa-apa lagi selain Allah SWT semata-mata, tidak seperti orang dewasa pada zaman ini yang terpaksa memikirkan sejuta macam perkara dan persoalan.

Diberkatkan pada pemerintahan sehingga Imam Mahdi diberi keupayaan untuk memerintah seluruh dunia ini, termasuk seluruh benua Amerika Selatan, Amerika Utara, seluruh Eropah Barat dan Eropah Timur, seluruh Asia dan Afrika. Kawasan-kawasan di hemisfera selatan seperti Australia, New Zealand dan negara-negara pulau di Lautan Pasifik juga akan tunduk dibawah pemerintahan Imam Mahdi. Diberkatkan juga pada pentadbiran sehingga tiada sebarang masalah yang akan ditimbulkan oleh rakyat, walaupun hanya seorang sahaja. Masing-masing redha dengan pemerintahan Imam Mahdi ke atas mereka. Tidak wujud lagi persaingan merebut kuasa seperti yang sedang galak berlaku pada hari ini, malah sanggup begaduh kerana mahukan jawatan dalam politik. Semua itu akan pupus sendiri dan tidak akan berlaku lagi pada zaman Imam Mahdi.

Diberkatkan pada harta benda sehingga manusia menjadi jemu dengannya kerana sudah terlalu banyak harta di atas muka bumi ini. Harta benda tidak lagi perlu dicari-cari kerana semuanya ini akan muncul sendiri dari dalam perut bumi, bukan lagi dalam bentuk butir-butir kecil seperti pada hari ini tetapi berketul-ketul seperti tiang-tiang rumah dan bergumpal-gumpal seperti busut besar yang sebahagiannya sehingga setinggi manusia berdiri. Sekaya-kaya manusia pada hari ini, iaitu zaman kita ini, dianggap semiskin-miskin manusia pada masa itu. Betapalah yang paling kayanya pada masa itu, bagaimanalah kayanya dia. Tidak terbayangkan oleh kita sekarang ini!

Diberkatkan pada manusia sehingga manusia menjadi seperti zaman kanak-kanak mereka, tidak pernah bergaduh dan menumpahkan darah. Tidak ada saling mendendam atau permusuhan, juga tiada sibukkan hal orang lain yang tidak ada kaitan dengan agama. Akhirnya, seluruh umat manusia hidup dalam keadaan penuh aman damai, bahagia dan sentosa sepanjang masa.

Akhirnya, setelah memerintah dunia ini selama sembilan tahun (atau kurang sedikit) menurut ukuran masa pada ketika itu, maka Imam Mahdi yang amat dicintai, disayangi dan ditaati tu meninggal dunia di atas katil di dalam rumahnya, di Timur. Berita kematiannya diketahui oleh semua manusia di seluruh dunia. Jenazahnya segera dimandi, dikafan dan seterusnya disembahyangkan secara sekali gus oleh semua umat Islam, walau di mana sahaja mereka berada. Teknologi pada masa itu dan bantuan keramat-keramat wali Allah memampukan seluruh umat Islam untuk memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin besar mereka itu. Itulah orang yang pertama sekali di dunia ini yang jenazahnya disembahyangkan secara serentak oleh seluruh umat Islam yang ada di seluruh dunia ini.

Dan, sebelum upacara sembahyang jenazah dilakukan, Nabi Isa AS dilantik menjadi Imam Mahdi yang baru, menggantikan Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Mahdi yang telah meninggal dunia itu. Tugas pertama Nabi Isa AS sebagai Imam Mahdi yang baru adalah mengimamkan seluruh umat Islam untuk menyembahyangkan jenazah arwah Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Mahdi, dan dimakmumkan oleh sekalian umat Islam. Demikianlah adanya. Setelah itu, jenazah Imam Mahdi pun dimakamkan di tempat beliau meninggal dunia itu. Tugasnya memimpin umat, kini terserah kepada Nabi Isa AS pula. Wallahu A’alam.

Bersambung: Penutup

Imam Mahdi: Pemimpin Akhir Zaman 8  

Posted by Budak Milo in

Kemunculan Dajjal dan Turunnya Nabi Isa AS

Imam Mahdi akan memerintah seluruh dunia ini dengan penuh adil dan aman damai selama tiga puluh tahun. Pada tahun ketiga puluh satu pemerintahannya, akan keluarlah suatu makhluk yang sangat hebat dan sangat besar fitnahnya terhadap seluruh umat manusia yang mampu membinasakan seluruh kemanusiaan. Itulah Dajjal yang selalu disebut-sebutkan oleh baginda SAW kepada para sahabat RA. Sungguh, fitnah Dajjal itu amatlah besarnya sehingga tidak ada fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal itu, sejak dijadikan-Nya bumi ini sehinggalah kiamat ditiupkan oleh malaikat Israfil AS.

Dajjal mula-mula keluar dari suatu jalan di wilayah Khurasan, lalu membuat kerosakan ke kanan dan ke kiri iaitu menuju ke Barat dan kemudian ke Timur pula. Dajjal pergi ke barat untuk mendapatkan kaum Yahudi Asbihan yang merupakan kumpulan askar-askar kanannya. Pada masa ini, hampir semua kaum Yahudi akan menjadi askar Dajjal yang setia kerana mereka ini akan diberinya pakaian, makanan dan minuman yang secukupnya sedangkan pada masa itu kebuluran sedang bermaharaja lela di seluruh dunia, terutama di sebelah yang tidak memeluk Islam.

Sepanjang tempoh pemerintahan Dajjal yang selama 40 hari itu, umat Islam terkepung di dalam kota Makkah, di kota Madinah, di Bukit Tursina dan di Baitulmaqdis iaitu pusat pemerintahan Imam Mahdi. Umat Islam yang berada di luar dari kawasan lindungan ini semuanya akan mati dibunuh oleh Dajjal yang amat kejam itu. Jika tidak mati pun, sudah pasti mereka akan berjaya dipengaruhi oleh Dajjal untuk menjadi pengikutnya. Umat Islam yang terkepung ini akan mengalami kesusahan yang amat sangat, kebuluran dan kesusahan. Kerana kehabisan makanan dan minuman, mereka menadah embun untuk diminum dan memakan tulang-tulang yang telah ditumbuk sehingga hancur.

Semuanya terpaksa ditanggung oleh mereka dan tidak terkecuali juga Imam Mahdi sendiri. Dajjal setiap hari akan mendatangi kota Makkah dan cuba untuk memasukinya tetapi gagal kerana jalan-jalan masuk ke kota suci itu sedia dikawal oleh malaikat yang berlapis-lapis sehingga tiada ruang untuk Dajjal dan pengikut-pengikutnya memasukinya walau dengan apa cara pun. Dajjal juga setiap hari akan cuba memasuki kota Madinah tetapi gagal juga. Dan pada setiap pagi, selepas subuh, Dajjal akan pergi ke Baitulmaqdis untuk melihat keadaan umat Islam yang sedang terkepung itu dan cuba mempengaruhi mereka agar menjadi pengikutnya.

Pada pagi keempat puluh, Dajjal datang ke Baitulmaqdis seperti biasa bersama-sama askar Yahudinya itu untuk melihat keadaan umat Islam yang semakin lemah kerana telah lama kehabisan makanan. Tujuannya adalah untuk mempelawa mana-mana umat Islam yang sudi menjadi pengikutnya. Apabila sampai sahaja ke sana, tiba-tiba Dajjal ternampak Nabi Isa AS sedang berada di tengah-tengah umat Islam, sudah turun dari atas langit dan bersiap sedia membawa tombak di tangannya. Dajjal sangat terkejut melihat keberadaan Nabi Isa AS kerana sedia diketahuinya bahawa itulah tanda umurnya akan habis. Maka pada ketika itu juga Dajjal cuba lari daripada Nabi Isa AS itu. Tinggallah askar-askarnya yang bertempiaran lari, namun segera dibunuh oleh Nabi Isa AS kesemuanya sehingga mereka mati tidak jauh dari situ.

Nabi Isa AS kemudian segera mengejar Dajjal dari belakang. Oleh kerana terlalu gemuk, pergerakan Dajjal itu amatlah payah, sedangkan Nabi Isa AS itu mengejarnya dari belakang melalui udara, iaitu dengan terbang di udara seperti terbangnya burung dan tidak menggunakan jentera. Itu adalah salah satu mukjizat beliau yang Allah kurniakan kepadanya khusus untuk digunakan pada akhir zaman nanti, setelah diturunkan semula ke dunia ini. Dajjal lari ke serata tempat sedangkan Nabi Isa AS semakin dekat di belakangnya. Akhirnya sewaktu tiba di Baitulmaqdis, Dajjal berjaya dibunuh oleh Nab Isa AS.

Selepas Dajjal mati, umat Islam yang tinggal sedikit sahaja lagi itu keluar dari dalam kawasan lindungan dan dengan bantuan Nabi Isa AS, mereka memerangi bangsa Yahudi. Seterusnya orang-orang Yahudi dibunuh sehabis-habisnya, tiada seorang pun dari mereka yang dibiarkan hidup melainkan yang benar-benar beriman sahaja. Semasa memerangi orang Yahudi ini, batu dan pokok turut membantu. Ini adalah sebahagian lagi mukjizat Nabi Isa AS dan keramat Imam Mahdi.

Bersambung: Pemerintahannya Selepas Kematian Dajjal

Imam Mahdi: Pemimpin Akhir Zaman 7  

Posted by Budak Milo in

Peperangan yang disertai oleh Imam Mahdi

Perang Pertama.

Semasa berlaku huru hara di Mina dan Madinah, Imam Mahdi bersama-sama dua orang pembantunya dan tujuh orang lagi melarikan diri dari Madinah dan bersembunyi di Makkah. Gabenor di Madinah menulis sepucuk surat (atau menelefon sahaja) kepada Gabenor di Makkah menyatakan kedatangan Imam Mahdi. Gabenor Makkah sangat gembira mendengar berita itu lalu menjemput Imam Mahdi dan jemaahnya menemui beliau. Imam Mahdi memenuhi jemputan itu lalu diizinkan tinggal di Makkah dengan aman sebagai seorang suaka politik.

Rupa-rupanya Gabenor Makkah itu menipu Imam Mahdi dengan memanggil kedua-dua pembantu Imam Mahdi untuk menemuinya. Mereka kemudiannya dibunuh di Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim, tetapi salah seorang daripadanya berjaya menyelamatkan diri lalu memberitahu Imam Mahdi. Imam Mahdi berasa marah dengan sikap Gabenor Makkah yang penipu itu, lalu melarikan diri ke Taif bersama-sama pengikutnya. Di sana beliau berkhemah sambil mempersiap pasukannya untuk memerangi Gabenor Makkah yang dimurkai oleh Allah dan seluruh isi langit itu. Beliau dibantu sama oleh penduduk Taif dan sekitarnya.

Seterusnya Imam Mahdi memerangi Gabenor Makkah dan segala askarnya itu. Walaupun jumlah pasukannya sedikit sahaja, Imam Mahdi berjaya mengalahkan Gabenor Makkah itu dan dapat pula membunuh gabenornya. Setelah itu Imam Mahdi dibaiat oleh sekalian manusia di Masjidil Haram.


Perang Kedua
Imam Mahdi mengalih perhatiannya ke Rom Turki. Disebutkan Turki kerana pada masa itu, Kostantinopel adalah pusat pentadbiran dan keagamaan Rom untuk beberapa abad. Selepas itu, Turki pula menakluk dan seterusnya mengambil alih kota Kostantinopel itu, lalu menjadikannya pusat pentadbiran Kerajaan Osmaniyah Turki selama kira-kira enam ratus tahun, dinamakan semula sebagai Istanbul. Dan Turki Rom yang dimaksudkan itu bukanlah Turki yang ada pada hari ini dan Kostantinopel yang dimaksudkan itu juga bukanlah kota Istanbul yang ada pada hari ini.

Turki yang dimaksudkan itu adalah Sepanyol dan Perancis manakala Kostantinopel yang dimaksudkan adalah kota Vatican iaitu pusat kepaderian Kristian sedunia. Jadi, Turki dan Kostantinopel seperti yang disebut-sebutkan itu hanyalah kiasan sahaja, bukanlah yang sebenar. Ini untuk menyesuaikan pemahaman umat Islam pada masa dahulu dengan apa yang diketahui oleh baginda SAW, para sahabat dan para tabiin melalui kasyaf mereka.

Imam Mahdi akan mengikat perjanjian gencatan senjata selama sembilan tahun dengan Eropah Kristian. Dalam tempoh gencatan senjata itulah kedua-dua belah pihak benar-benar merasakan keamanan sejati. Seluruh umat Islam kini benar-benar mengecapi apa itu nikmat keamanan. Mereka juga bergabung menentang tentera Russia yang selalu mengganggu ketenteraman pihak Islam. Walaupun berlaku perjanjian damai, kedua-dua belah pihak tetap berbeza pendapat mengenai beberapa masalah, misalnya mengenai salib. Orang-orang Rom mengatakan bahawa salib itu mampu memberi bekas dalam mengalahkan musuh mereka, manakala orang-orang Islam mengiktikadkan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberi bekas, bukannya salib.

Semasa berlaku percanggahan pendapat itu, salah seorang tentera Islam telah dengan sengaja mematahkan salah satu daripada salib tersebut dalam keadaan marah. Maka marahlah tentera-tentera Rom lalu mereka membunuh askar Islam tersebut. Maka pada ketika itu, pecahlah perang besar antara kedua-dua pasukan tentera itu. Dan Allah memuliakan tentera muslimin dengan mati syahid.

Selepas itu, pihak Rom keluar dengan 80 ketumbukan tentera yang amat besar, di bawah 80 bendera. Pada setiap ketumbukan itu ada 12 ribu askar Kristian Eropah. Mereka meneruskan perjalanan dan hanya singgah di bandar A’amaq dekat Halb dan Antokiah, iaitu kawasan yang airnya tidak pernah kering melainkan pada musim panas. Kawasan yang mereka singgahi itu adalah kawasan yang rata, merupakan padang rumput yang cukup luas. Beberapa orang penduduk A’amaq yang juga merupakan anggota pasukan Imam Mahdi berkumpul untuk menghadapi askar-askar Rom itu.

Setelah berlaku cabar-mencabar, tercetuslah peperangan yang amat besar sebanyak tiga kali. Pada kali pertama peperangan itu, tentera Islam kalah sehingga sepertiga daripada jumlah mereka mati terbunuh. Semua tentera Islam yang mati itu tidak diterima taubat mereka oleh Allah selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang-orang munafik. Askar Islam yang selebihnya berundur untuk mengatur strategi lain yang dirasakan lebih berkesan.

Dalam pertempuran kali kedua, sepertiga daripada mereka pula mati. Tentera yang mati ini adalah mati syahid dan dimuliakan oleh Allah kerana betul niatnya. Askar Islam yang selebihnya terpaksa berundur lagi dan menyusun strategi yang benar-benar mantap, iaitu sesuatu yang tidak pernah terdugakan oleh pihak Kristian. Semasa merancang strategi itu, tentera Islam berpecah kepada tiga pendapat. Pendapat pertama mahukan tentera Islam menyerah kalah kerana tentera musuh terlalu besar untuk ditentang. Pendapat kedua mahukan peperangan diteruskan kerana mereka yakin bahawa tentera Islam tetap akan menang dan menganjurkan agar tentera Islam bergerak melalui kawasan gurun dan pedalaman.

Pendapat ketiga menyeru agar kedua-dua pendapat tadi tidak taksub kepada pendapat masing-masing kerana Allah tidak akan membantu mereka jika mereka berpecah belah, lalu mengajak mereka bersatu semula. Akhirnya mereka bergabung semula dan bersetuju meneruskan peperangan, walau apa pun yang akan terjadi.

Pada pertempuran kali ketiga, kalahlah tentera Rom walaupun tentera Islam hanya tinggal sepertiga sahaja lagi, sedangkan orang-orang Rom sudah menjangkakan bahawa mereka akan mengalahkan tentera Islam tersebut. Mereka terlalu gembira kerana melihatkan pasukan tentera Islam yang amat kecil itu. Mereka pun menyatakan bahawa salib boleh memberi bekas kepada kemenangan mereka tetapi dinafikan oleh tentera Islam.

Dan tentera Islam yang tinggal sepertiga dan menang itu, tidak difitnahkan ke atas mereka selama-lamanya. Allah memberikan tentera Islam kemenangan dengan menurunkan seramai dua ratus ribu malaikat, berserta Mikail AS dan dibantu juga oleh para wali Allah. Datanglah azab kepada pasukan Rom itu sehingga kebanyakan mereka mati kerana azab itu.

Tentera Islam tadi memasuki kota Rom dengan penuh kemenangan. Orang-orang yang tinggal meminta keamanan dan bersetuju membayar jizyah, lalu diberikanlah mereka keamanan. Kemudian orang-orang Rom cuba menakut-nakutkan tentera Islam dengan menyebarkan berita bahawa Dajjal telah keluar dan menawan anak isteri mereka. Tetapi berita itu tidak mampu memperdayakan umat Islam lalu orang-orang Eropah itu dibunuh seramai-ramainya dan segala harta benda mereka dirampas. Semuanya dapat ditawan dalam tempoh tiga hari sahaja. Kemenangan ini disambut dengan penuh gembira sambil mengucapkan tasbih, takbir dan tahlil kepada Allah sehinggalah tiba waktu subuh tanpa tidur-tidur.

Setelah terbit fajar, tentera Islam melaungkan takbir dengan sekuat-kuatnya sehingga menyebabkan runtuh kota Rom itu. Mereka bertakbir lagi dan runtuh lagi kota Rom itu yang di sebelah lain, dan begitulah sehingga habis runtuh semua bahagian kota Rom itu. Kejadian ini amat menakjubkan orang-orang Rom sehingga akhirnya mereka mengakui bahawa memerangi umat Islam bererti memerangi Allah. Mereka menyerahkan segala harta benda mereka sehingga tidak ada yang tinggal lagi. Umat Islam membahagi-bahagikan harta rampasan perang itu di tengah-tengah padang dan jalan kerana sudah terlalu banyaknya. Juga kerana terlalu banyaknya itu, mereka menyukatnya dengan menggunakan talam-talam besar sahaja, tidak lagi menggunakan alat penimbang.

Perang Ketiga
Imam Mahdi akan memerangi India sehingga berjaya menakluk seluruh negara itu dan kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya. Imam Mahdi juga membunuh semua orang kafir yang menentangnya dan juga orang-orang Islam yang telah keluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pemerintah India itu menyusun pasukan tenteranya secara besar-besaran dan dengan segala kelengkapan perang tercanggih yang mereka miliki. Namun, Imam Mahdi dapat mengalahkan raja itu dengan amat mudah sahaja. Akhirnya seluruh India di-Islamkan atau yang tidak melawan membayar jizyah sebagai tanda mengaku kalah sambil meminta keamanan.

Perang Keempat
Imam Mahdi akan memerangi seluruh mazhab yang bidaah, baik dalam bidang apa pun, dan walau di mana pun jua sehingga akhirnya tidak wujud lagi di dunia ini apa-apa mazhab pun melainkan yang benar dengan sunnah Rasulullah SAW sahaja. Yang khufarat juga beliau perangi habis-habisan sehingga pupuslah dari dunia ini segala bentuk khurafat yang sebelumnya masih dilakukan oleh manusia, sama ada yang Islam mahupun yang bukan Islam. Antara bidaah yang awal-awal dihapuskan adalah Syiah, Wahabi dan Muktazilah. Kemudian dihapuskan pula pemikiran-pemikiran Barat yang telah lama mencengkam seluruh otak manusia dan meresap hati sanubari mereka. Kemudian hapus pula segala macam pemujaan terhadap sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syarak dan akhirnya mazhab-mazhab dalam ilmu fikah dan tasawuf turut dihapuskan (walaupun kedua-duanya tidaklah bidaah atau khurafat).

Perang Kelima
Imam Mahdi akan memerangi As-Sufyani dan Kalb serta segala tenteranya. Akhirnya beliau berjaya menangkap As-Sufyani dan Kalb lalu kedua-duanya itu disembelih di atas batu, seperti orang menyembelih kambing untuk dikorbankan. Kedua-dua mereka ini adalah lambang kekotoran sistem Barat yang sudah amat rosak itu. Dengan kematian kedua-duanya, maka seluruh dunia ini dibersihkan daripada segala daki sistem Barat, yang ternyata lebih banyak merosakkan daripada membaikkan.

Perang Keenam
Imam Mahdi akan memerangi bandar Qatik. Bandar ini terletak di suatu daratan yang menghijau pada bahagian lautnya. Panjang kota itu adalah seribu batu dan lebarnya 500 batu, manakala pintunya berjumlah 360 buah dan setiap pintu itu dikawal oleh seribu orang askar. Bandar Qatik yang dimaksudkan oleh hadis dan asar ini sebenarnya adalah New York di Amerika Syarikat. Dan pada hari ini, kota raya New York adalah lambang kekuasaan jaringan Yahudi terhadap dunia. Di sanalah tempat tumpuan utama kaum kapitalis dan birokrat Yahudi, begitu mendalamnya cengkaman Yahudi ke atas kota itu sehingga hari cuti mingguan di kota raya itu adalah pada hari Sabtu, iaitu hari kebesaran Yahudi. Yang dikatakan seribu batu dan lima ratus batu itu adalah perlambangan sahaja, untuk menunjukkan betapa luasnya Amerika Syarikat itu dan majunya negara itu pada pandangan dunia.

Jumlah pintu yang dimaksudkan adalah pelabuhan yang banyak terdapat di serata Amerika Syarikat dan jumlah askar yang dikatakan seribu orang pada setiap pintu itu ialah jumlah polis, angkatan marin, pasukan imigresen dan tentera udara yang terdapat di hampir semua pelabuhan tadi adalah lambang kekuatan ketenteraan negara itu dan cekap pasukan perisikannya. Juga sebagai lambang bahawa negara besar dunia itu sentiasa berjaga-jaga terhadap apa jua unsur yang boleh membahayakan keselamatan negara berkenaan.

Apabila tiba di sana, Imam Mahdi dan tenteranya melaungkan takbir sebanyak tiga kali dari atas kapal mereka dengan sekuat-kuat hati. Maka runtuhlah dinding kota itu dan mereka dapat menawannya. Kemudian Imam Mahdi memerangi penduduknya dan membunuh seramai sejuta orang. Dengan itu lengkaplah penguasaan Imam Mahdi terhadap seluruh dunia ini, baik yang Islam mahupun yang tidak Islam.

Setelah selesai peperangan itu, Imam Mahdi pun pulang dengan sekalian tenteranya menaiki seribu buah kapal yang sarat dengan harta benda dan memerintah di pusat pentadbirannya, dengan penuh adil dan takwa. Manusia pun menjadi amat kaya harta dan kaya hati, masing-masing hanya memikirkan jalan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan sahaja, tidak lain kerana sudah tiada apa lagi yang mereka mahukan pada masa itu, melainkan Allah SWT sahaja. Pada ketika ini, hanya pasukan tentera yang berada di Eropah sahaja yang masih berperang dan sentiasa memperoleh kemenangan dalam setiap peperangannya. Enam bulan selepas seluruh Eropah dapat ditawan, Dajjal yang sebenar pun keluar ke dunia ini lalu menakluknya pula.

Bersambung: Kemunculan Dajjal dan Turunnya Nabi Isa AS